Hotel dalam lombong perak
Salam semua.
Cuti sekolah dah pun bermula...Dah ada plan nak melancong? Kalau belum, cubalah hotel dalam lombong perak kat Sweden ni...
Anda boleh LUPAKAN sahaja penthouse kerana sebuah hotel yang unik di bandar Sala, Sweden dapat menghantar tetamu sehingga 150 meter ke bawah tanah untuk tidur.
Hotel Sala Silvermine yang dibina di dalam sebuah lombong itu menyediakan bilik yang hanya boleh diakses melalui lif lombong yang dapat menghantar tetamu ke dalamnya dalam masa beberapa saat sahaja.
Bilik tidur yang berharga 380 pound sterling (RM1,824) semalaman itu didatangkan dengan katil bertingkat yang mewah dan dihiasi dengan hiasan perak.
Tetapi bagi mereka yang selama ini tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit, inilah masanya untuk mereka berpisah seketika dengan alat teknologi itu dengan menginap di salah satu daripada 14 tingkat bawah tanah hotel itu kerana tiada isyarat mudah alih di situ.
Satu-satunya cara untuk mereka berkomunikasi dengan dunia luar ialah melalui interkom peribadi yang dihubungkan ke meja penyambut tetamu di lobi hotel.
Pengunjung dinasihati untuk membawa pakaian panas kerana suhu di bahagian bawah gua lombong itu boleh mencecah sehingga 2 darjah Celcius.
Bagaimanapun, pengunjung tidak perlu bimbang kerana bilik itu sendiri terletak di dalam poket udara panas dengan suhu nyaman sekitar 18 darjah.
Walaupun masih mempunyai kelemahan, hotel itu begitu popular bagi mereka yang ingin mencari penginapan alternatif, malah ia sentiasa penuh pada hari Jumaat hingga Ahad sepanjang tahun.
Bilik untuk seorang bersebelahan lombong perak
Pengarah Pemasaran Hotel tersebut, Sofie Andersson, berkata, beliau tidak pernah mendengar tempat lain yang unik terutamanya yang jauh ke dalam tanah.
"Orang ramai mungkin berfikir bahawa hotel di lombong akan menjadi sejuk dan gelap, tetapi sebenarnya ia terletak di salah satu ruang yang hangat yang mana suhu 18 darjah.
Candelier
"Bagi menerangi bilik tersebut, kami menggunakan lampu seperti candelier dan pemegang lilin. Apabila dipasang, permukaan dinding perak akan menyebarkan cahaya itu ke seluruh bilik.
"Logam perak boleh berasa sangat sejuk atau panas bergantung kepada pencahayaan," ujarnya.
Menurut Sofie, ia tempat paling luar biasa untuk dihuni. Lombong perak tersebut pada asalnya digali oleh pelombong yang membawa bijih perak keluar dengan menggunakan tangan.
Ia mengambil masa hampir 10 tahun untuk membina bilik tidur menggunakan kaedah perlombongan yang perlahan yang melibatkan pembakaran kayu bagi memanaskan dan meretakkan bijih perak hingga ia mudah dipecahkan.
Salah seorang tetamu dari Denmark berkata, suasana malamnya sangat indah, tetapi pengunjung harus memakai pakaian tebal untuk ke tandas kerana suhunya adalah 2 darjah.
"Saya boleh katakan pengalaman ini sungguh unik khususnya bagi mereka yang ingin mencari sesuatu yang luar biasa," katanya.
Lombong Sala merupakan lombong perak terbesar di Sweden sekurang-kurangnya selama 400 tahun. Di sekitar kawasan lombong itu sekarang dibangunkan beberapa tempat untuk melangsungkan pelbagai acara dan aktiviti pengembaraan.
Tambah Sofie, sejak lombong itu ditutup dan diganti dengan sebuah hotel bawah tanah, ramai pengunjung luar yang datang berulang kali ke bandar Sala.
"Kami telah menghubungkan masa lalu dengan kehidupan hari ini dengan mewujudkan bilik yang menarik. Pada masa sama mereka berasa seperti betul-betul berada pada masa depan," ujarnya lagi.
Sumber dari Kosmo online
Jumpa lagi di lain entri.
Menarik.. tapi rasanya makchaq tak berani kot nak dok sini...
ReplyDeleteKwn pon sama mak chaq..baik gi legoland je.hehe
ReplyDelete